Gaza terus dibom.

GAZA CITY – Jumlah kematian di Gaza akibat serangan tentera Israel meningkat kepada 10,515 orang sehingga semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, seramai 4,324 mangsa adalah kanak-kanak, 2,823 wanita dan 649 golongan tua yang merangkumi 70 peratus mereka yang maut.

Manakala rakyat Palestin yang kehilangan nyawa di Tebing Barat akibat keganasan Israel bertambah kepada 163 orang.

Keseluruhan 28,400 cedera dalam serangan yang memasuki hari ke-34 sejak keganasan tercetus pada 7 Oktober lalu.

Dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan terdapat 2,550 orang termasuk 1,350 kanak-kanak masih hilang.

Sementara itu jumlah hospital yang lumpuh sepenuhnya meningkat kepada 18 berbanding 16 sebelum ini berikutan antaranya kerana kerosakan atau kekurangan bahan api.

Kementerian kesihatan menyatakan bahawa sistem kesihatan di Gaza telah runtuh dan profesional penjagaan kesihatan sedang bergelut untuk menyediakan penjagaan asas untuk orang awam yang cedera dan sakit.

“Hospital yang berfungsi terhad dengan apa yang mereka boleh sediakan dan menutup wad secara beransur-ansur. Sebagai contoh, Kompleks Perubatan Al-Shifa terpaksa menutup enam bilik bedah kerana kekurangan bekalan termasuk minyak.

“Doktor terus melakukan pembedahan tanpa bius, walaupun untuk pesakit yang cedera, mengakibatkan kes-kes di mana mereka terpaksa melakukan amputasi ke atas kanak-kanak dan melakukan C-section ke atas wanita tanpa bius,” jelasnya.

Hospital juga menghadapi kekurangan bekalan darah berikutan jumlah yang cedera parah yang tinggi.

Pada 6 November lalu tingkat 5 Hospital al-Shifa telah menjadi sasaran serangan udara Israel kerana mahu memusnahkan panel solar yang menjadi sumber terakhir untuk menjana elektrik.

Serangan itu telah membunuh berpuluh-puluh orang termasuk tempat perlindungan pelarian di kawasan itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast