KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sedang merancang untuk memperluaskan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) kepada para pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke beberapa bandar raya di negeri lain.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini projek SASaR dan RKAT berkenaan hanya akan fokus di sekitar Lembah Klang dan rancangan memperluaskan ke bandar raya lain sedang diteliti.
“Projek SASaR ini bukan sahaja berakhir di Kuala Lumpur sahaja pada masa sama kita mahu memperluaskannya ke beberapa bandar raya di negeri lain macam di Pulau Pinang, Ipoh, Kota Bharu, Johor Bahru dan Seremban.
“Namun kita tidak boleh mengusahakan tanah-tanah kosong itu sewenang-wenangnya dengan terus membina rumah tentera dalam Markas ATM dan kem Tentera.
“Sekiranya tidak ada sebarang keperluan atau rancangan membangunkan tanah itu untuk 10 atau 20 tahun akan datang maka berdasarkan pandangan dan cadangan markas ATM kita akan cuba bina rumah sebanyak mungkin rumah RKAT untuk keluarga angkatan tentera dan rumah SASaR di tanah milik ATM itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian projek perumahan SASaR yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kem Wardieburn, Setapak.
Tambah Mohamad, kementerian akan meminta Markas ATM untuk memberi pandangan sama ada tanah tanah yang dimiliki itu ada keperluan untuk membesarkan markas atau kem tentera.
“Lagi pun, rumah rumah keluarga anggota ATM sedia ada di negara ini memang sudah menjangkau usia sehingga ada yang dibina pada zaman British masih dihuni dan bilangannya sangat besar di seluruh negara,
“Jadi ia akan mengambil masa berfasa untuk kementerian dan ATM untuk menaiktaraf dan memulihkan rumah rumah ini agar sesuai didiami semula,” tegas beliau lagi – MalaysiaGazette