Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kiri) ketika lawatan kerja ke projek di bawah pemajuan Perbadanan PR1MA Malaysia iaitu Residensi D'Marina @ Pinggiran Putra 2, Kuantan.

KUANTAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti sebanyak 77 projek perumahan berlesen sakit dan sembilan projek terbengkalai di seluruh Pahang.

Timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia termasuk sebuah projek perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di PR1MA Residensi D’Marina di sini.

“Di Pahang, sepanjang kewujudan pasukan khas yang kami tubuhkan, kami sudah berjaya selesaikan 51 projek sakit dan 47 projek berjaya mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC). Baki empat projek itu kita berjaya lancarkan kembali gerak kerjanya,” katanya.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) iaitu Taman 1-Icon dan projek di bawah pemajuan Perbadanan PR1MA Malaysia iaitu Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2 di sini hari ini.

Menurut Akmal, isu tertangguh bagi projek PR1MA terbabit hanyalah berkaitan Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan Stesen Pam Penghubung (NPS) yang masih belum selesai.

Selain itu, katanya, KPKT turut mengenal pasti punca sebenar wujud projek-projek sakit menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) dan akan melakukan libat urus dengan agensi berkenaan.

“Kita kena faham jenis-jenis masalah dan barulah boleh cari penyelesaian. Kalau di Pahang, nak kata semua masalah daripada pemaju pun tak boleh. Ada kerangka jenis-jenis masalah yang kita dah kenal pasti,” katanya.

Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2, Kuantan

Dalam pada itu, Akmal memaklumkan KPKT telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar melakukan penyelenggaraan sistem perparitan dan longkang di kawasan masing-masing.

Ia selari dengan pengumuman MET Malaysia tentang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula Sabtu ini. – MalaysiaGazette