KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tanpa permit sah kira-kira 18 batu nautika timur dari Nenasi, Rompin petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot pukat tunda kelas C tersebut ditahan pihaknya setelah didapati bergerak dalam keadaan yang mencurigakan pada pukul 1 petang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan lima kru termasuk tekong bot yang merupakan warga Myanmar berumur lingkungan 23 hingga 44 tahun.

“Kesemua mereka gagal mempamerkan sebarang dokumen kelulusan penggunaan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan serta turut gagal mempamerkan pas lawatan kerja sementara,” katanya dalam kenyataan.

Bot nelayan dikendalikan lima tekong tanpa permit ditahan Maritim Pahang

Susulan itu bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin bersama peralatan menangkap ikan.

Turut dirampas hasil laut yang dianggarkan sebanyak 700 kilogram yang diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah. – MalaysiaGazette