Gambar hiasan.

SEPANG – Sukan permotoran antarabangsa, Petronas Grand Prix (GP) Malaysia 2023 akan berlangsung mulai esok hingga 12 November depan di Sepang International Circuit (SIC).

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman menasihatkan pengunjungnya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan pihaknya dan penganjur perlumbaan tersebut.

“Pengunjung dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri, anak dan harta benda sepanjang berada di SIC bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Laporkan dengan kadar segera kepada pihak polis supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Imran menggalakkan pengunjung hadir lebih awal serta merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas serta mematuhi arahan papan tanda di sepanjang jalan.

“Kenderaan perlu diparkir di kawasan yang ditetapkan dan dalam keadaan berkunci. Jangan meninggalkan barang-barang berharga di dalam kenderaan bagi mengelakkan kecurian. Kenderaan yang diletak di bahu jalan akan ditarik dan dikompaun,” ujarnya.

Para pengunjung tidak dibenarkan membawa apa-apa senjata atau barang-barang merbahaya ke dalam kawasan SIC dan tindakan tegas akan diambil ke atas kesalahan berkenaan.

Pengunjung turut diminta untuk mengelak daripada melakukan apa-apa tindakan provokatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan perjalanan acara terbabit.

“Diingatkan juga, kawasan SIC merupakan kawasan larangan merokok. Patuhi larangan tersebut dan merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja. Tindakan kompaun akan diambil oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette