Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Pembinaan Projek Pembangunan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Wardieburn dan Setapak untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka siap secara berfasa pada 2026 dan 2027.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek SASaR bakal dibangunkan berdasarkan konsep subsidi bersilang dengan kerajaan akan menyediakan tanah kepada pemaju untuk membina rumah di bawah harga pasaran.

Katanya, di bawah projek SASaR ATM ini, pemaju akan melaksanakan pemindahan dan pembangunan semula Kem Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dan Unit Army Red Warrior (ARW) ke Kem SiRusa Port Dickson, Negeri Sembilan, serta Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) ke Kem Wardieburn.

Pemaju juga akan membangunkan 7,374 unit rumah meliputi 6,400 unit di Kem Genting Klang (32 ekar/12.949 hektar) dan 974 unit di Kem Wardieburn (6.5 ekar/2.6 hektar) dilengkapi dengan kemudahan asas yang digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, malah bagi SASaR Wardieburn, terdapat juga kemudahan tambahan seperti kolam renang, gimnasium dan dua lot parkir bagi setiap rumah.

“Secara keseluruhan, kos pembinaan bagi perumahan SASaR ATM ini menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh pemaju iaitu Platinum Victory Development Sdn Bhd. Projek ini dijangka siap secara berfasa mulai tahun 2026 hingga 2027.

“Para anggota ATM boleh membuat permohonan bagi pembelian Unit SASaR ini yang dibuka sebaik selesai majlis perasmian pagi tadi,” katanya kepada pemberita selepas Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah yang berangkat mencemar duli berkenan merasmikan projek tersebut.

Projek SASaR ditawarkan dalam lima jenis harga berbeza mengikut keluasan kediaman itu bermula daripada unit 1,000 kaki persegi berharga RM150,000, unit 1,100 kp berharga RM199,000; unit 1,200 kp bernilai RM250,000;unit jenis 1,400 kp berharga RM350,000 dan akhirnya unit berkeluasan 1,500 kaki persegi berharga RM400,000 iaitu 50 peratus lebih murah dari harga pasaran semasa.

Mohamad berkata, setiap permohonan akan disaring berdasar kriteria yang telah ditetapkan, dan jika sekiranya bilangan permohonan yang layak melebihi unit yang disediakan maka sesi undian akan dilaksanakan.

Tambah beliau, penjualan unit rumah SASAR ditetapkan secara kouta iaitu 80 peratus kepada anggota dalam tugas, 15 peratus kepada veteran ATM dan baki lima peratus lagi kepada warga kerja awam Kementerian Pertahanan.

Justeru, Kementerian Pertahanan dengan ini menyarankan agar anggota ATM terutamanya dalam kalangan anggota lain-lain pangkat yang masih muda dan baru berkhidmat untuk mengambil peluang membeli unit perumahan SASaR dan melabur demi masa depan memiliki rumah pada usia muda.

Ditanya sama ada mereka dibenarkan menjual rumah tersebut, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan setiap anggota yang membeli rumah SASaR mempunyai perjanjian tidak boleh menjual rumah itu untuk 10 tahun pertama.

“Kalau dia mahu jual rumah itu selepas 10 tahun itu, syaratnya dia harus memastikan menjual unit itu kepada seorang lagi anggota tentera sahaja dan dilarang menjual kepada orang awam.

“Sekiranya tiada mana-mana anggota tentera yang masih tidak berkemampuan untuk membeli rumah itu, maka kita akan beli unit berkenaan melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Selain itu jika andai jika anggota yang membeli rumah SASaR tidak berkemampuan meneruskan pembiayaan pinjaman perumahan itu dan terpaksa dilelong, ia hanya dibenarkan kepada anggota tentera sahaja (lelongan).

“Kalau masih lagi tiada anggota yang tidak berminat untuk membeli unit tersebut seterusnya LTAT akan mengambil alih rumah itu kerana ia terletak di atas tanah milik ATM dan kemudahan serta keistimewaannya diutamakan kepada anggota tentera sahaja,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast