KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Hukuman itu selepas bekas Menteri Belia dan Sukan itu didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mengenakan hukuman itu selepas mendengar hujah peguambela bagi diringankan hukuman dan hujahan pemberatan hukuman oleh pendakwaan.
Dalam pada itu, hakim juga pada masa sama telah membenarkan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.
Sebelum itu peguam Syed Saddiq dalam hujahan bagi diringankan hukuman memandangkan Presiden MUDA itu menyesal, akur dan muhasabah diri dengan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya.
Peguam bela Haijan Omar memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dalam bentuk penjara atau denda sahaja memandangkan anak guamnya belum berkahwin dan perlu menjaga kedua ibu bapanya daripada empat adik beradik.
“Ibu bapanya hadir hari ini, bapa Syed Saddiq baru sahaja menjalani pembedahan katarak mata manakala ibunya menghidap kanser payudara.
“Kita juga berharap mahkamah akan pertimbang jasa anak guamnya yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan sejak 2018 hingga 2020.
“Ketika beliau dilantik menjadi menteri, beliau dikenali di persada antarabangsa sebagai seorang menteri yang paling muda di Asia,” katanya.
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Syed Saddiq Syed bersalah ke atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada Bersatu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: