Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) melahirkan kebimbangannya terhadap tindakan membatalkan pas akhbar wartawan Harakah serta akreditasi akhbar itu baru-baru ini.

Setiausahanya, Teh Athira Mohamed Yusof berkata, tindakan itu mesti mengambil kira kebajikan wartawan terbabit dengan pembatalan kad perakuan media tersebut.

“NUJM bimbang wartawan terbabit tidak dibenarkan menjalankan tugas, tidak dibayar gaji sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, NUJM memandang serius kekerapan tindakan keras yang dikenakan ke atas organisasi media dan kakitangannya sejak kebelakangan ini.

Malah NUJM berpandangan lebih baik kerajaan menyegerakan penubuhan Majlis Media Malaysia bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang dan nasib petugas media terbela.

“Kementerian Komunikasi dan Digital harus bertemu dengan Jabatan Penerangan untuk mengkaji pembatalan tag media wartawan di Harakah Daily dan akreditasi penerbitan kerana ia telah menjejaskan demokrasi dan kebebasan akhbar yang diamalkan di Malaysia sejak kemerdekaannya.

“Kami berharap Jabatan Penerangan mempunyai penjelasan mengapa kejadian ini berlaku. Jika memang terdapat sebarang laporan palsu oleh penerbitan, tindakan selanjutnya hendaklah diambil mengikut undang-undang dan peraturan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Jabatan Penerangan (Japen) mengambil balik kad perakuan media (KPM) milik wartawan yang bekerja dengan lidah rasmi parti itu iaitu akhbar Harakah.

Ahmad Fadhli berkata, pihak Harakah telah menerima surat daripada Japen yang menyatakan kad media wartawannya diambil balik.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil memberitahu Dewan Rakyat, kad perakuan media Harakah Daily ditarik Japen.

Tindakan itu dipercayai teguran Perdana Menteri berhubung artikel portal Harakah Daily bertajuk ‘Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?’ dengan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim berlatar belakangkan bendera Israel. – MalaysiaGazette