Adnan Mat Cuepacs RM1,800 gaji minimum wage civil servants public sector
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi keutamaan kepada pakar tempatan di universiti awam dan swasta untuk mengendalikan program latihan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kerajaan tidak seharusnya terlalu bergantung kepada konsultan atau perunding asing.

Menurut beliau, kebergantungan kepada konsultan asing bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi malah dibimbangi latihan yang diberikan tidak dapat dipraktikkan dalam konteks keperluan negara.

“Nilai RM40 juta itu adalah ‘pelaburan’ penting kerana penjawat awam adalah tulang belakang yang menjadi pelaksana kepada dasar yang dirangka untuk kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan akan memperuntukkan sehingga RM40 juta bagi penyediaan latihan bidang kecergasan buatan (AI) yang menumpukan kepada penjawat awam muda.

Adnan memberitahu, penglibatan penyedia latihan tempatan seperti daripada institusi pengajian tinggi, syarikat swasta atau agensi kerajaan sendiri mampu memberikan impak terbaik ke atas nilai pelaburan yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Beliau menambah, agensi yang diberikan tanggungjawab untuk menyediakan program latihan kepada penjawat awam perlu membuat proses penilaian dengan teliti supaya ia tidak memberi kesan pembaziran terhadap dana awam yang dibelanjakan.

“Keperluan setiap negara adalah berbeza dan penglibatan kumpulan profesional tempatan sudah tentu lebih diyakini dalam memberi impak kepada program latihan penjawat awam,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Adnan berkata, CUEPACS berharap penjawat awam menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh kerajaan bagi meningkatkan kemampuan diri.

“Jangan pernah berasa selesa dengan tanggungjawab semasa, sebaliknya sentiasa mempunyai keinginan untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan.

“Sekiranya terpilih untuk mengikuti program latihan, penjawat awam perlu menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik sentiasa dapat diberikan kepada rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette