KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang suspek lelaki bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat samun bersenjata parang ke atas seorang mangsa ketika sedang bersenam di kawasan perumahannya di Shah Alam semalam.
Dalam kejadian berlaku 5.50 pagi itu, mangsa seorang warga tempatan berusia 30 tahun telah mengalami kecederaan diserang suspek bermotosikal.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada kakak mangsa pada hari sama kira-kira 8.30 malam tadi.
Pada masa yang sama polis telah mengesan penularan gambar di media sosial yang memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan akibat disamun ketika berjogging pada awal pagi di kawasan perumahan Seksyen 27 di Shah Alam.
“Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai lelaki bersenjatakan parang telah datang ke arah mangsa.
“Suspek menaiki sebuah motosikal nombor pendaftaran tidak pasti berhenti dan secara tiba-tiba merampas beg milik mangsa sebelum mangsa telah menarik semula beg tersebut daripada disamun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Iqbal, akibat insiden itu suspek telah bertindak mencederakan mangsa menggunakan parang.
Mangsa seorang pekerja swasta di Kuala Lumpur mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam dan tiada sebarang kerugian yang dilaporkan.
Kes sedang disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.
“Usaha untuk mengesan dan tangkap suspek sedang giat dijalankan oleh polis ketika ini. Polis minta kerjasama dari mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut atau menyaksikan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes ini iaitu Inspektor Anis Shafika di talian 011-10951310 bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette