KUANTAN – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memperakui Lipis sebagai Geopark Kebangsaan menerusi mesyuarat yang dipengerusikan oleh ketua setiausahanya semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daerah Lipis dikenali sebagai Lipis Geopark bermula 9 November lalu.
”Lipis Geopark yang berkeluasan 5,198 kilometer persegi meliputi keseluruhan daerahnya di negeri ini dengan 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan enam tapak warisan biologi adalah Geopark Kebangsaan yang terbesar di Malaysia buat masa ini.
Antara tapak di Lipis yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan seperti Galeri Aspirasi Lipis Geopark, Geotapak bernilai Kebangsaan (Zon Sutura Bentong-Raub, Jujukan Perms-Trias Gua Bama dan Kuala Sungai Lipis), Geotapak bernilai Geopelancongan (Ketakselarasan Gua Tahi Bintang dan Gua Sisik Naga).
Selain itu Biotapak (Taman Negara Sungai Relau, Taman Eko Rimba Sg Yu), Tapak Budaya (Stesen Keretapi Lipis, Bangunan Majlis Daerah Lipis, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford), Pendidikan (SMK Merapoh), dan Komuniti (Perkampungan Orang Asli Pos Betau), katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Wan Rosdy, pelaksanaan Lipis Geopark selari dengan draf perancangan Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028) untuk menjadikan negeri itu destinasi bertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori World Heritage Site (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).
”Dengan pengiktirafan ini membuktikan pembangunan di Daerah Lipis berupaya menjadi sebuah tapak mesra warisan dan alam sekitar serta seterusnya berpotensi sebagai destinasi pelancongan lestari bertaraf antarabangsa,” katanya.
Wan Rosdy berharap berharap penglibatan aktif komuniti tempatan dan pihak berkepentingan akan menjadikan wilayah Geopark Lipis berada di landasan yang tepat bagi diangkat sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun 2025. – MalaysiaGazette