Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya satu juta kenderaan dijangka menghala ke Pantai Timur menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bermula hari ini sempena sambutan perayaan Deepavali.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 692,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya KLK bagi tempoh bermula hari ini sehingga Isnin depan.

Katanya, ia adalah peningkatan sebanyak 73 peratus dari jumlah purata trafik harian biasa.

“Selain itu, jangkaan jumlah aliran trafik di LPT1 pula dijangka sebanyak 284,000 bersamaan peningkatan peratusan sebanyak 58 peratus dari jumlah aliran purata trafik harian biasa.

“ANIH Berhad telah membuat persediaan dengan menambah bilangan kakitangan sokongan lebih daripada 60 peratus, membabitkan petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) sepanjang tempoh berkenaan, termasuk bersedia membuka laluan tambahan tol sekiranya perlu.

“Selain itu, seramai 150 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di kawasan strategik di seluruh lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik.

“Tol percuma sempena Deepavali berkuat kuasa bermula  12.01 tengah malam 11 November dan berakhir pada 11.59 malam pada 12 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Imran Gulcharan berkata, ANIH Berhad, sebagai pengendali Lebuhraya KLK dan LPT1 juga sudah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) membabitkan tempoh bermula hari ini sehingga 13 November ini bagi membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan.

Jelas beliau, jadual lengkap TTA bagi KLK dan LPT1 sudah dimuat naik di akaun Facebook Lebuhraya Pantai Timur bagi rujukan semua pengguna.

“Pengguna Touch ‘n Go diingatkan untuk tetap menyentuh kad pada alat pengesan di lorong plaza tol, walaupun dalam tempoh tol percuma selain memastikan baki semua mod pilihan pembayaran mencukupi,” ujarnya. – MalaysiaGazette