GAZA – Hamas menyeru masyarakat antarabangsa khususnya umat Islam untuk meningkatkan lagi protes untuk mendesak rejim Zionis Israel menghentikan keganasan di Gaza.
Gerakan pembebasan Palestin itu berkata, kezaliman dan kekejaman rejim Zionis Israel telah menyebabkan orang awam khususnya kanak-kanak berdepan ancaman kebuluran.
“Seruan ini adalah berikutan keganasan dan pengeboman yang dilakukan oleh Israel sejak 34 hari lalu tanpa henti.
“Mereka juga perlu memprotes tindakan jenayah Israel menyekat bekalan elektrik, bahan api dan makanan ke Gaza sehingga menyebabkan kanak-kanak diancam maut akibat kebuluran,” katanya seperti dilaporkan Palestinian Information Center.
Hamas berharap demonstrasi pro-Palestin dapat diadakan di bandar-bandar besar di seluruh dunia bagi menyokong usaha rakyat Palestin untuk kembali ke negara asal mereka serta mengutuk sokongan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel.
Hamas turut mengisytiharkan Jumaat, Sabtu dan Ahad sebagai hari-hari solidariti bersama Palestin.
“Protes akan bertemakan slogan ‘Hentikan pembunuhan beramai-beramai dan kebuluran… Bebaskan Palestin,” jelasnya.
Setakat semalam, tindakan keganasan rejim Zionis Israel di Gaza telah menyebabkan seramai 11,091 orang awam termasuk 4,812 kanak-kanak dan 2,944 wanita dibunuh.
Lebih 1.6 juta penduduk Gaza kini menjadi pelarian setelah kediaman mereka musnah dalam serang udara rejim Zionis Israel yang menyasarkan tempat-tempat awam. – Agensi