PEKAN – Sebanyak 102 lampu jalan yang rosak di laluan Gambang-Segamat (FR12) Fasa 1 dijangka siap dibaiki sepenuhnya sebelum 18 November ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, proses membaiki lampu berbaki 25 peratus daripada jumlah 400 lampu jalan di laluan berkenaan berjalan lancar mengikut jadual.
Tambah Fakhruddin, pihak Jabtan Kerja Raya (JKR) sedang mengatasi perkara tersebut dan kontraktor terlibat sedang membaikinya secepat mungkin.
”Saya telah meminta pihak JKR memastikan lampu jalan yang tidak berfungsi di laluan Persekutuan (FR12- Fasa 1) Gambang – Segamat ini agar segera dibaiki.
”Terdapat keseluruhan sebanyak 400 lampu jalan di sepanjang laluan Fasa 1 ini dan lampu yang mengalami kerosakan berbaki 102 atau 25%.
”Ia dijangka akan siap dibaiki sepenuhnya 18 November 2023 seperti yang dijanjikan kontraktor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Fakharuddin berharap pihak terbabit dapat menyiapkan seperti dijadualkan dan berterima kasih kepada JKR dan semua konsesi terlibat kerana telah banyak melakukan penambahbaikan terutama penyelenggaraan jalan raya di negeri ini.
”Saya ingatkan JKR dan semua pihak yang terlibat agar terus tingkatkan kerjasama dan melaksanakan tanggungjawab dengan sehabis baik,” ujarnya.
Sementara itu sebagai langkah menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), pihaknya meminta agar semua longkang dan parit yang dibawah seliaan dan selenggara JKR di seluruh dapat ditinjau semula dengan lebih kerap.
”Longkang dan parit perlu dibersihkan mana-mana yang masih dipenuhi semak samun, sampah sarap dan lain-lain agar aliran air apabila hujan lebat akan dapat mengalir dengan lancar.
”Perkara ini penting kerana pengalaman lepas membuktikan ia salah satu punca banjir terutama di bandar-bandar.” ujarnya. – MalaysiaGazette
















