KOTA BHARU – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dari tiga daerah bersempadan negara jiran dijamin dapat memberi maklumat menerusi pergaulan dengan komuniti.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Sheik Azhar Sheik Omar berkata, anggota RELA di Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah kini ditempatkan di tiga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatn (ICQS) bersama-sama anggota PGA bagi menjaga kompleks tersebut.
“Kita mahu supaya setiap maklumat yang diperoleh disalurkan kepada pihak polis untuk dibuat risikan.
“Selepas ini kita berharap setiap anggota RELA yang ditugaskan di ICQS dapat sekurang-kurangnya menyalurkan satu maklumat setiap sebulan untuk diambil tindakan lanjut oleh polis,” katanya selepas majlis penutupan Kursus Penyesuaian Penugasan RELA Bersama PGA di Mess Pegawai PGA, di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Supt Mohd Suhaimi Ismail dan Pengarah RELA Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Kanan RELA (PPjKR) Amirul Ikhwan Ahmad Shukri.
Mengulas lanjut, Sheik Azhar berkata, anggota tersebut mampu menjadi ‘mata dan telinga’ kepada polis dalam menangani isu jenayah rentas sempadan.
“Kursus Siri 1 diadakan yang berlangsung enam hari bermula 6 Nov lalu dijalankan melibatkan 76 anggota RELA dari Pengkalan Kubor, Tumpat, Rantau Panjang (Pasir Mas) dan Bukit Bunga (Tanah Merah).
“Penugasan terbaharu ini dimulai dalam Op Taring Wawasan tahun ini iaitu satu dasar yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) agar penugasan RELA dikolabrasi bersama PGA,” katanya.
Menurut beliau, jenayah di sempadan amat serius terutama melalui pangkalan haram dengan kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), penyeludupan barangan kontraban selain dadah dan senjata api diharap semakin berkurangan.
Katanya, anggota RELA yang ditugaskan di pintu masuk negara mesti mempamerkan imej terbaik dan jangan sesekali menjadi pengkhianat kepada kegiatan penyeludupan atau bersengkongkol dengan penjenayah. – Bernama















