KEPALA BATAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengharapkan Bajet Pulau Pinang 2024 yang akan dibentangkan dalam masa terdekat ini berteraskan Belanjawan Madani yang menterjemahkan maksud Rahmah.
Jelas beliau, pihaknya turut berharap belanjawan itu dapat seiring dengan Kerajaan Pusat yang memberi keuntungan dan manfaat lebih kepada rakyat.
“Kalau kita lihat Bajet 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan banyak memberi perhatian kepada rakyat secara langsung.

“Bukan saja bantuan tunai Rahmah dinaikkan malah kakitangan kerajaan serta pesara turut menerima manfaat dalam pembentangan bajet tersebut.
“Sehubungan itu, saya harap kerajaan negeri mengambil inisiatif ini dengan memperluaskan erti Rahmah menerusi pembentangan kali ini agar rakyat mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali Peringkat Kepala Batas di Kuil Sri Sithi Vinagayar di sini, hari ini.
Seramai 300 individu yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan menerima bantuan wang tunai serta barangan asas.

Pada majlis itu, Reezal Merican turut memaklumkan beliau akan membina sebuah dewan untuk kegunaan masyarakat India dalam kawasan DUN Bertam.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak berhasrat menambah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dalam Bajet 2024 yang dijangka dibentangkan pertengahan bulan ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian sebelum ini yang mana wakil rakyat pembangkang diberikan sebanyak RM60,000 setahun berbanding wakil rakyat kerajaan negeri yang menerima RM500,000 setahun. – MalaysiaGazette















