SEPANG – Juara dunia, Francesco Bagnaia dilihat semakin menghampiri kemenangan ketujuhnya musim ini selepas menempah kedudukan di petak utama Kejohanan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, di sini hari ini.
Pelumba Ducati Lenova Team itu atau juga dikenali sebagai ‘Pecco’ turut mencipta rekod baharu sepusingan, satu minit 57.491 saat (s), dalam pusingan terakhir sesi kelayakan pagi tadi.
Ia sekali gus memadam catatan 1:57.790s yang dilakukan pesaing rapatnya, Jorge Martin dari Prima Pramac Racing tahun lepas.
Martin yang terdahulu mengetuai kelompok pelumba terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 1:57.549s manakala rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini turut menyertai barisan hadapan dengan 1:57.590s.
Selain perlumbaan sebenar esok, keputusan hari ini turut menyaksikan semua pelumba meraih kedudukan sama untuk perlumbaan sprint yang akan diadakan petang ini.
Perlumbaan sprint diperkenalkan buat kali pertama dalam kelas premier musim ini yang melibatkan separuh daripada jarak perlumbaan utama.
Ia turut menawarkan mata kejohanan dengan 12 mata kepada pemenang hingga satu mata bagi tempat ke-9, berbanding perlawanan utama yang memberi 25 mata kepada pemenang hingga satu mata bagi pelumba di tempat ke-15.
Dalam aksi Moto2, Fermin Aldeguer dari GT Trevisan SpeedUP akan memulakan perlumbaan esok daripada petak utama selepas mencatatkan masa terpantas pada pusingan kelayakan 2 dengan 2:05.288s.
Pelumba Sepanyol itu mengatasi pelumba Itali, Celestino Vietti dari Fantic Racing yang meraih kedudukan kedua dengan 2:05.790s manakala Maneul Gonzalez dari Correos Prepago Yamaha VR46 Team di tempat ketiga dengan 2:05.815s.
Sementara itu, pendahulu kedudukan kejohanan, Pedro Acosta yang mengumpul 300.5 mata terpaksa bermula di grid keenam esok selepas merekodkan 2:05.894s.
Dua pelumba wildcard negara mewakili Petronas MIE Racing RW Azroy Hakeem Anuar mencatatkan masa 2:08.183s untuk tempat ke-15 manakala Helmi Azman di kedudukan bawah dengan 2:10.112s dalam sesi kelayakan 1.
Azroy Hakeem akan memulakan perlumbaan pada kedudukan ke-29 manakala Helmi di kedudukan kedua terakhir. – Bernama















