Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung minggu depan, dengan harga bergerak antara RM3,400 dan RM3,650 satu tan.

“Saya percaya pembeli telah mendapatkan stok mereka lebih awal, terutamanya dari India, sebelum bercuti panjang.

“Spekulator juga akan berehat semasa musim perayaan, justeru aktiviti pengambilan untung dan pasaran yang lebih tenang minggu depan,” kata peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh kepada Bernama.

Pasaran akan ditutup pada Isnin, 13 Nov 2023, sempena Deepavali dengan operasi disambung semula pada Selasa, 14 Nov.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran tempatan diniagakan kebanyakannya rendah, didorong oleh minat belian yang rendah dan sentimen pasaran yang lemah berikutan kebimbangan mengenai pengeluaran yang meningkat, selain pasaran minyak mentah yang lemah.

Pada Jumaat, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata stok minyak sawit negara pada akhir Oktober meningkat 5.84 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 2.45 juta tan. Pengeluaran minyak sawit mentah naik 5.89 peratus bulan ke bulan kepada 1.94 juta tan pada Oktober manakala eksport minyak sawit meningkat kepada 1.47 juta tan.

Pada asas mingguan, kontrak November 2023 menambah RM41 kepada RM3,673 satu tan, Disember 2023 naik RM20 kepada RM3,737 satu tan dan Januari 2024 meningkat RM34 kepada RM3,802 satu tan.

Februari 2024 menambah RM40 kepada RM3,839 satu tan, Mac 2024 naik RM50 kepada RM3,855 satu tan dan April 2024 meningkat RM56 kepada RM3,852 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 248,880 lot daripada 163,201 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 215,538 kontrak daripada 215,228 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan naik RM21 kepada RM3,700 satu tan daripada RM3,679 satu tan pada minggu sebelumnya. – BERNAMA