Rusdi Mohd Isa.

KUALA LUMPUR- Perselisihan faham berkaitan perniagaan menjadi punca sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng di sini dibaling bom petrol dalam kejadian 9 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini enam suspek telah ditahan termasuk satu tangkapan dibuat pagi tadi dan akan direman hari ini.

“Sehingga semalam kita ada lima tangkapan dan pagi tadi satu lagi ditahan menjadikan jumlah keseluruhan enam orang.

“Suspek keenam merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun tapi kita masih belum melengkapkan lagi siasatan. Saya percaya ada dua atau tiga lagi suspek yang masih bebas.

“Kesemua suspek ini, ada yang kita telah mohon reman, tidak reman pun ada dan masih dalam tahanan reman pun ada,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah Rusdi, kesemua suspek yang ditahan itu mempunyai peranan masing-masing dan ada di antara mereka mempunyai rekod jenayah .

“Ini kes terpencil, perselisihan antara ahli perniagaan sebab ada di antaranya telah diupah untuk membaling bom tersebut. Namun setakat ini tiada kait dengan kongsi gelap,” jelasnya.

Rusdi turut memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam dengan menggunakan senjata.

Baru-baru ini media melaporkan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar selepas dibaling dengan bom petrol.

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhubung kejadian itu dari sebuah premis berhampiran turut tular di media sosial.

Rakaman menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Susulan siasatan, polis menahan dua lelaki tempatan di Batu Caves, Selangor, Jumaat lalu, sebelum menahan dua lagi suspek Ahad lalu.

Kesemua suspek yang terlibat berusia dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast