Air terawat air mentah Perak Pulau Pinang
Saarani Mohamad

MANJUNG – Kerajaan Negeri Perak bersetuju untuk menjual bekalan air terawat ke Pulau Pinang melalui pembinaan loji rawatan air (LRA) yang bakal dibina di utara negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perjumpaan pertama di antara Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama SUK Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa telah diadakan pada minggu lalu.

Menurut Saarani, perjumpaan berkenaan bertujuan bagi membincangkan cadangan penjualan dan pembelian air terawat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Kita telah memaklumkan bahawa Kerajaan Perak dan Kerajaan Pulau Pinang telah mencapai kata persetujuan iaitu Perak akan membekalkan air terawat kepada Pulau Pinang dan bukannya air mentah.

“Ia disebabkan, yang pertama, kerajaan negeri sendiri hendak memindahkan air ke utara Perak sebab kita mahu membantu menyelesaikan masalah pengairan pertanian bagi kawasan utara Perak.

“Kedua adalah, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tentang cadangan pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, kita juga perlu memberikan bekalan air yang mencukupi untuk tujuan perindustrian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa isu berkaitan bekalan air antara Pulau Pinang dan Perak memasuki fasa perbincangan yang positif pada Khamis.

Kon Yeow turut mengesahkan bahawa terdapat perkembangan positif meskipun isu terbabit telah berlanjutan selama beberapa tahun dan beliau pernah berjumpa dua Menteri Besar Perak dan dua menteri berkaitan.

“Akhirnya yang terkini di peringkat SUK Perak dan SUK Pulau Pinang akan teruskan perbincangan sebelum ini dan ia satu perkembangan baharu yang mana kita akan bincang mengenai bekalan air terawat dan bukan berkaitan air mentah,” katanya.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, apabila Perak memiliki bekalan air terawat di utara negeri berkenaan ia turut akan menyelesaikan masalah pertanian yang dihadapi petani dan pesawah apabila musim kemarau.

Beliau berkata, selain itu masalah keperluan air bagi cadangan pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian itu juga akan dapat diselesaikan.

“Ini bermakna kita boleh menjual air terawat kepada Pulau Pinang dan itulah antara terma yang kita letakkan di antara perjumpaan Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Saarani turut berkata, kedua-dua kerajaan negeri bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi memohon peruntukan secukupnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina LRA di utara Perak.

Terdahulu Saarani hadir merasmikan Program One Stop Centre (OSC), Sejahtera Sosial Negeri Perak di Dewan Merdeka, Seri Manjung yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed. -MalaysiaGazette

BACA SELANJUTNYA:

Perak setuju jual air terawat ke Pulau Pinang – Saarani

MGPerak: Perak Setuju Jual Air Terawat Ke Pulau Pinang – Saarani