Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan berkata, tiada kontrak komunikasi baharu telah dianugerahkan bagi tahun semasa 2023 bagi pentadbiran Kerajaan Madani.

Untuk tahun 2023, perbelanjaan komunikasi Kerajaan Madani setakat ini menggunakan hanya sebahagian lebihan nilai kontrak komunikasi pentadbiran lalu iaitu sebanyak RM56.9 juta.

Menurutnya, ia kerana terdapat lebihan nilai kontrak komunikasi yang dimeterai semasa pentadbiran lalu tidak dibelanjakan pada tahun 2022.

Bagi tahun hadapan, pentadbiran Kerajaan Madani akan mengurangkan perbelanjaan bagi pengiklanan, promosi dan publisiti untuk tidak melebihi RM100 juta iaitu separuh daripada nilai purata perbelanjaan sebelum ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini, MoF turut mengesahkan jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja pengiklanan, promosi dan publisiti dalam
menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh tiga tahun iaitu 2020 hingga 2022 semasa dua pentadbiran lalu telah mencecah RM700 juta.

Jumlah itu, kata MoF adalah seperti jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 7 November lalu,

Perbelanjaan tersebut digunakan oleh dua pentadbiran lalu untuk menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan melalui semua platform media massa termasuk papan
iklan (billboard), media cetak, media elektronik (televisyen dan radio) serta media sosial.

Kebanyakan perbelanjaan bagi tujuan ini diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

Kerajaan belanja RM700 juta untuk publisiti, terbanyak semasa pentadbiran Muhyiddin