KUALA LUMPUR – Selebriti popular merangkap usahawan tudung, Nur Fazura terus mengorak langkah dalam dunia perniagaan apabila mendapat pengiktirafan pada majlis Anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE), kelmarin.
Anugerah yang mengiktiraf 700 usahawan muda yang paling berpengaruh di negara ini telah memilih pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-27 sebagai Usahawan Wanita Terbaik tahun.
“Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT atas kurniaanNYA. Malam tadi Faz telah menerima anugerah “Woman Entrepreneur Of The Year” di #100mostinfluentialyoungentreprenuers2023 awards.
“Terima kasih buat semua yang selalu mendoakan dan menyokong Faz selama ini. Kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat Faz terus berkerja keras lagi untuk memberi yang terbaik di dalam perniagaan. Ini adalah kejayaan #miliksemua,” tulis di Instagram miliknya.
Antara selebriti lain yang turut mendapat pengiktirafan 100 MIYE adalah Ziana Zain dan Nabila Razali yang terpilih sebagai 100 usahawan muda berpengaruh di negara ini.
Tahun ini, 100 MIYE menerima hampir 900 pencalonan tetapi hanya 100 calon dibawa ke peringkat akhir.
Pencalonan dibahagikan kepada 15 kategori antaranya dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembuatan.
“Kami meraikan usahawan muda yang sentiasa bekerja keras untuk berjaya, berani mengambil risiko, menjadi pemimpin dan majikan yang dihormati pekerja, memiliki sikap positif dan aktif melakukan aktiviti tanggungjawab korporat sosial (CSR),” kata pengerusi penganjurnya, Datuk KK Chua. – MalaysiaGazette