Rozi Abdul Ghani

JOHOR BAHRU – Sejumlah RM1 juta telah disalurkan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) untuk rakyat Palestin sejak perang tercetus bulan lalu.

Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, bantuan tersebut dikutip menerusi tabung yang dilancarkan di Pasar Raya Econsave Cash and Carry Sdn Bhd (Econsave) dengan kerjasama  MyCARE Johor sejak 14 Oktober lalu itu.

Nilai sumbangan itu melibatkan kewangan, perubatan dan makanan.

“Sumbangan ini dihulurkan rakyat Malaysia dari seluruh negara bagi membantu rakyat Palestin dan daripada kutipan berkenaan sebanyak RM300,000 adalah dari Johor.

Hampir 1,000 penduduk termasuk kanak-kanak di PPR Kempas Tampoi mengadakan perarakan sebagai tanda Solidariti Palestin di Kempas hari ini.

“Bantuan fasa pertama sebanyak RM500,000  telah disalur  selepas dua atau tiga hari perang tersebut tercetus kepada pejabat dan wakil kami di Gaza.

“Manakala RM500,000 lagi disalurkan ke Wisma Putra baru-baru in untuk fasa kedua bagi bantuan itu,” katanya kepada media selepas Himpunan Aman Solidariti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai Prihatin Palestin di sini hari ini.

Menurut beliau, kutipan baharu yang diterima selepas dana RM1 juta adalah sebanyak  RM280,000 .

“Sehingga hari ini pun kamu masih meneruskan kutipan  pungutan bagi membantu penduduk di sana,” ringkasnya.

Selain menerusi tabung berkenaan, sumbangan juga boleh disalurkan ke dalam akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad menerusi Maybank Islamic Berhad 5515 7500 4299; CIMB Islamic Bank Berhad (8602 135 592); Bank Islam Malaysia Berhad (1209 2010 0349 04).- MalaysiaGazette