Datuk Seri Anwar Ibarahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail melakukan ibadah umrah.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa buat rakyat Palestin di depan Kaabah ketika melaksanakan ibadah umrah hari ini.

Anwar dan isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melakukan ibadah berkenaan sejurus tamat Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Alhamdulillah, saya bersama Azizah dan delegasi Malaysia diizinkan Allah melaksanakan ibadah umrah usai Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum berangkat ke Amerika Syarikat.

“Saya titipkan doa memohon Allah mengangkat penindasan dan kemusnahan dari bumi Palestin.

“Semoga saudara kita di Gaza dan Tebing Barat dilimpahkan kesejahteraan, keamanan dan dikurnia kekuatan dalam menempuh tantangan dan kezaliman,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.

Dalam persidangan yang berlangsung semalam menggesa negara-negara anggota OIC mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Perdana Menteri berkata, umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak yang berlangsung selama sehari itu.

“Saya menggesa semua anggota OIC agar menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog di semua peringkat sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahupun antarabangsa.

“Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik yang bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” katanya .

Sidang kemuncak tergempar itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz dan dihoskan oleh Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman.

Bagaimanapun banyak pihak melihat sidang itu gagal dalam menghentikan kekejaman dan serangan ganas Israel terhadap penduduk Gaza yang memasuki ke-37 dengan lebih 11,000 rakyat Palestin maut.-MalaysiaGazette