GENEVA- Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad menyertai masyarakat dunia mendesak supaya dihentikan serta merta perang dan segera membentuk koridor bantuan kemanusiaan di Gaza.
“EU amat bimbang mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan blok itu.
Kesatuan itu turut menyeru agar akses bantuan kemanusiaan tidak disekat dan menyediakan laluan yang selamat bagi membolehkan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
Berhubung serangan terhadap hospital di Gaza, EU menekankan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa menetapkan bahawa hospital, bekalan perubatan dan orang awam di dalam hospital mesti dilindungi.”
Bekalan perubatan yang paling mendesak harus dihantar ke hospital manakala pesakit yang memerlukan rawatan perubatan segera perlu dipindahkan dengan selamat.
“Dalam konteks ini, kami menyeru Israel untuk hentikan sebarang serangan demi memastikan keselamatan orang awam,” kata blok itu.- BERNAMA-ANADOLU