GEORGE TOWN – Setiap umat Islam wajib menyokong serta membantu rakyat Palestin dalam memperjuangkan kebebasan negara mereka daripada cengkaman penjajah zionis Israel.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, isu Gaza dan Palestin adalah isu keadilan dan kemanusiaan sejagat, namun bagi umat Islam ia berkaitan dengan agama.

Jelas beliau, memperjuangkan kebebasan buat Palestin bukan bermakna orang Islam menentang penganut Yahudi.

Sebaliknya yang ditentang adalah penjajah Israel dan pendatang dari pelbagai negara Eropah yang mendiami bumi Palestin dengan mengusir penduduk asal menjadi pelarian di beberapa negara jiran.

Kata beliau, lebih kejam apabila rakyat Palestin yang masih tinggal di negara asal menjadi mangsa diskriminasi dan dilayan sebagai warga kelas kedua atau lebih teruk lagi oleh mereka yang merampas hak rakyat negara berkenaan.

“Justeru, atas nama kemanusiaan, setiap individu Muslim dan orang bukan Islam mestilah membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing selain menyalurkan bantuan kewangan menerusi akaun tertentu yang bertanggungjawab.

“Bantuan juga boleh dibuat dengan cara memboikot produk syarikat yang terbukti memberi sumbangan kepada negara haram itu, namun tindakan berkenaan hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganiayai syarikat yang tidak menyumbang kepada tujuan terbabit seperti restoran McDonald’s Malaysia misalnya.

“Ini kerana pengurusan rangkaian restoran berkenaan sudah berkali-kali menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyumbang kepada negara Israel,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam baru-baru ini, Wan Salim mengingatkan Kerajaan Malaysia, pemimpin umat Islam dan pihak lain bahawa Israel tidak pernah mengenal bahasa rundingan atau diplomasi susulan persidangan itu juga menuntut jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan Israel diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Israel juga tidak pernah menghiraukan keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), maka kekerasan terpaksa digunakan yang mana bahasa senjata sahaja boleh memaksa Israel berundur dari kawasan yang ditaklukinya dalam peperangan.

“Penduduk Palestin dengan bantuan negara Islam, serta negara bukan Islam yang bersimpati mesti membekalkan kelengkapan tentera bagi kumpulan Hamas di Gaza serta rakyat Palestin seluruhnya.

“Ia adalah sebagai menyahut seruan al-Quran supaya disediakan kepada mujahidin, kekuatan ketenteraan semaksimum yang termampu bagi menimbulkan kegerunan kepada pihak musuh,” kata beliau.

Tambah Wan Salim, Masjidil Aqsa merupakan tempat suci ketiga bagi umat Islam selepas Masjidil Haram serta Masjid Nabawi maka ketiga-tiga masjid itu perlu diberi perhatian sewajarnya. – MalaysiaGazette