Friday, May 3, 2024
Home Utama KPM janji siasat semua kes buli di sekolah

KPM janji siasat semua kes buli di sekolah

Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan menyiasat setiap aduan mengenai kes buli di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap aduan itu perlu disiasat mengikut prosedur melibatkan tempoh satu hari untuk aduan, tiga hari bagi menjalankan siasatan dan tujuh hari bagi penyelesaian.

Jelas beliau, kementerian juga mengarahkan semua kes buli perlu dilaporkan kepada pengetua untuk tindakan selanjutnya.

“Penyelesaian kes buli adalah 90 peratus selesai dalam tempoh 15 hari selepas diadu melalui portal Aduan Buli. Bagi kes yang belum selesai adalah kes yang memerlukan siasatan lanjut melebihi 15 hari.

“Peningkatan ini kalau kita ambil dari segi pendekatan advokasi, akses, maknanya penyebaran tentang akses kita untuk murid dan ibu bapa waris untuk mengadu, maknanya lebih terbuka.
“Inilah yang kita berikan jaminan bahawa setiap aduan mesti disiasat mengikut tempoh satu, tiga dan tujuh hari seperti yang saya sebut tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa, menjawab soalan tambahan daripada Mohammed Taufiq Johari (PH – Sungai Petani) yang bertanya berkaitan kes buli di sekolah dan langkah intervensi daripada KPM.
Fadhlina menambah, dari segi intervensi, KPM memiliki Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah untuk menangani isu tersebut.
“Guru ini akan memberikan intervensi bersesuaian yang terkait rapat dengan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid terjaga secara berterusan.
“Ia adalah sebagai bentuk perlindungan sementara di sekolah bagi melindungi mangsa semasa siasatan dijalankan. Semua kes buli juga perlu dilaporkan kepada pengetua untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette