Mikel Arteta

LONDON – Mikel Arteta silap apabila menyalahkan pengadil selepas kekalahan kontroversi Arsenal di Newcastle, tegas ketua pengadil, Howard Webb.

Pengendali The Gunners itu berkata, dia rasa ‘malu dan loya’ apabila gol kemenangan Athony Gordon pada awal bulan ini dibenarkan – sesuatu yang memalukan.

Kenyataan Arteta itu mendapat sokongan padu kelabnya.

Namun selepas meneliti tiga insiden menjurus kepada jaringan Gordon, Webb merumuskan pengadil melakukan keputusan tepat.

“VAR meneliti secara terperinci dan mengenal pasti tiada sebab jelas untuk membatalkan gol berkenaan.

“Proses dilakukan sebenarnya tepat,” kata Webb menurut laporan Agensi.

Antara keputusan dikritik ialah kekasaran Joelinton ke atas Gabriel Martinelli sebelum Gordon menjaringkan gol.

Menurut Webb, ia mungkin satu kekasaran tetapi VAR mendapati tiada bukti jelas daripada rakaman untuk mengubah keputusan.

Sementara itu, berkenaan tempoh panjang diambil VAR dalam membuat keputusan, Webb berpendapat belum masanya untuk membawa masuk teknologi ofsaid ke Liga Perdana Inggeris.

“Kita sedang melakukan ujian di belakang tabir dan menilai pertandingan lain.

“Kami akan membuat keputusan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette