LONDON – Bekas penjaga gol Manchester United, David De Gea kini dikaitkan dengan kelab divisyen dua Sepanyol iaitu Eldense.
Spekulasi itu muncul selepas dia dikesan melawat kelab tersebut baru-baru ini dan telah berjumpa dengan presiden kelab itu, Pascual Perez.
Namun terdapat laporan yang mengatakan De Gea lebih berminat untuk melakukan pelaburan dalam pemilikan kelab Eldense setelah presiden tersebut mahu menjual pegangan saham kelab, menurut Sport Bible.
Khabar angin itu bertiup kencang ekoran sebelum ini De Gea pernah menyatakan mahu bermain di negaranya, Sepanyol setelah berkahwin dengan Edurne Garcia.
Sebelum ini, penjaga gol berusia 33 tahun itu kembali dikaitkan dengan United apabila dikhabarkan Andre Onana akan terlepas beberapa aksi penting liga ekoran kejohanan Piala Negara-Negara Afrika tahun hadapan. – Agensi