Asyraf Mara MRSM berbayar TVET
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kurang berkemampuan bukan lagi menjadi alasan untuk pelajar tidak memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, institusi di bawah seliaannya itu menyediakan bantuan kewangan pendidikan “Budi” kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya, bantuan itu bagi menampung keperluan seperti, yuran persekolahan, pakaian sekolah harian, keperluan asrama serta tambang pengangkutan.

“Bagi mereka yang tidak berkemampuan, MARA menyediakan bantuan kewangan pendidikan (BUDI) untuk pelajar-pelajar MRSM.

“Bantuan ini berupa bantuan kewangan untuk menampung yuran persekolahan, belian pakaian sekolah harian, keperluan asrama, peralatan sekolah, bayaran tambang pergi dan balik sekolah, pengecualian wang caruman dan pemberian wang saku.

“Justeru, saya tidak mahu dengar lagi alasan tidak mahu masuk MRSM kerana kosnya yang tinggi. Hakikatnya dengan ilmu sahaja dapat merubah kehidupan diri keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Asyraf, hanya pendidikan yang mampu merubah nasib individu dan sesebuah keluarga.

Ujarnya, MRSM telah banyak merubah kehidupan individu dengan program pendidikannya yang holistik dan seimbang bukan sahaja memfokuskan kecemerlangan akademik khususnya Sains, Teknologi, Matematik, bahkan penerapan nilai, akhlak dan adab dalam pembentukan sahsiah pelajar. – MalaysiaGazette