Teresa Kok
Teresa Kok (tengah) dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah mengarahkan peguamnya memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkannya dengan ideologi komunisme.

Menurut beliau, Siti Mastura mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berbaur fitnah dan hasutan itu pada Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Teresa berkata, peguamnya telah mengeluarkan surat menuntut Ketua Pengarah Ameerah itu meminta maaf dan menarik balik kenyataannya pada 10 November lalu.

“Saya beri masa tiga hari, sampai hari ini saya masih tidak terima apa-apa surat mohon maaf terhadap kenyataan dibuat,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Merujuk kepada salinan surat tuntutan daripada Tetuan SN Nair yang diedarkan kepada media, Mastura dikatakan menuduh Teresa adalah sepupu kepada isteri Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Mastura juga menuduh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang juga bapa kepada Guan Eng sebagai sepupu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Selepas Guan Eng, Teresa merupakan pemimpin DAP kedua yang memfailkan saman terhadap Mastura berikutan tuduhan tersebut.

Tetuan SN Nair turut memaklumkan Mastura bahawa anak guamnya menuntut pampasan sebanyak RM10 juta.

Teresa menambah, Mastura sepatutnya menunjukkan bukti DNA yang mengaitkannya dengan isteri Guan Eng atau Chin Peng.

“Tetapi dia hanya beri bahan rujukan kepada polis,” jelasnya. – MalaysiaGazette