Saravanan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan dalam daerah Timur Laut pada sidang media hari ini.

GEORGE TOWN – Polis membongkarkan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kereta sebagai stor penyimpanan dadah dalam tiga serbuan di sekitar Jelutong dan Gelugor di sini, pada Selasa lalu.

Serbuan bermula jam 11.20 pagi hingga 3.45 petang itu membawa kepada tangkapan enam individu termasuk seorang wanita bersama dadah jenis heroin, pil Eramin 5 serta syabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Seri Damai, Jelutong yang membawa kepada tangkapan empat individu termasuk seorang wanita.

Saravanan (tengah) bercakap pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.

Jelas beliau, pemeriksaan di dalam kediaman itu menjumpai dua paket dadah jenis heroin, satu paket syabu serta empat biji pil Eramin 5.

“Bertindak atas maklumat daripada salah seorang suspek kita melakukan serbuan di parkir kereta di kawasan sama sebelum menahan dua lagi lelaki.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta jenis Honda Civic di kawasan parkir itu pula kita menjumpai dua lagi paket heroin seberat 228 gram.

“Susulan itu, kita lakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Kancil di tepi jalan Persiaran Bukit Gambir 1, Gelugor yang membawa kepada penemuan sembilan paket heroin seberat 4.1 kilogram ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Turut dirampas kereta jenis Mercedes Benz, tiga buah motosikal, pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai RM6,050.

Tambah Saravanan, secara keseluruhan jumlah rampasan dadah dan sitaan bernilai RM135,021.

Kebanyakan dadah jenis heroin itu disimpan dalam kereta jenis Perodua Kancil bagi elak dikesan pihak polis.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek berusia 21 hingga 42 itu menjadikan kereta sebagai stor penyimpan dadah sebelum diedarkan kepada penagih.

“Siasatan lanjut juga mendapati sindiket ini aktif sejak bulan lalu dan masing-masing tidak mempunyai hubungan kekeluargaan sebaliknya hanya kenalan yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Semakan juga mendapati kesemua suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 21 November ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette