Kim Pan Gon

KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengucap terima kasih kepada lebih 17,000 penyokong yang hadir menyaksikan Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi.

Namun dia sedikit terkilan dengan jumlah kehadiran itu kerana SNBJ memiliki kapasiti 80,000 penonton yang mampu memberi impak maksimum kepada pemain Malaysia.

“Malam ini (semalam) kehadiran hanya 17,000. Saya menghargai penyokong yang hadir ke stadium namun gelanggang ini mempunyai kapasiti sehingga 80,000 penonton.

“Bagi saya, penyokong memainkan peranan besar, terutamanya pada perlawanan ini yang menyaksikan kita bangkit,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.

Antara Penyokong Harimau Malaya yang hadir bagi menyaksikan perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 diantara Malaysia menentang Republik Kyrgyzstan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 NOVEMBER 2023.

Mengulas aksi anak buahnya, Pan Gon memberitahu, dia menegur sikap pemain ketika rehat separuh masa pertama agar tidak terlalu yakin serta lebih menghormati pasukan lawan selepas ketinggalan 1-2.

“Sebelum separuh masa kedua bermula, saya beritahu kepada pemain bahawa kita perlu sedar tentang kedudukan semasa kita, kita bukan pasukan teratas. Kita perlu menghormati pasukan lawan dan merendah diri.

“Saya suka dengan keyakinan, tetapi kita tidak boleh terlalu yakin dan kita tidak boleh sombong ketika beraksi.

“Kita perlu menghormati pasukan lawan yang berada di tangga ke-97 dalam ranking FIFA. Ini adalah pengajaran bagi kami. Walau apa pun, perlawanan malam ini (semalam) cukup mengkagumkan,” katanya.

Suasana stadium kelihatan kosong pada perlawanan antara Malaysia menentang Kyrgyzstan sempena Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadiuam Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2023.Malam tadi, Malaysia menampilkan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Republik Kyrgyz 4-3 pada perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Pemain lincah, Faisal Halim muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan selepas Harimau Malaya sebelum itu ketinggalan 1-3.

Anak buah Kim Pan Gon membuka gol pertama seawal minit ketujuh menerusi tandukan pemain pertahanan, Dion Cools hasil sepakan sudut yang diambil oleh Arif Aiman.

Namun Malaysia ibarat hilang arah seketika hingga membolehkan pemain pertahanan Kyrgyzstan, Kayrat Zhyrgalbek menewaskan Syihan Hazmi untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-42.

Gelagat penyokong Harimau Malaya yang hadir bagi menyaksikan perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 diantara Malaysia menentang Republik Kyrgyzstan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto WAN NABIL NASIR, 16 NOVEMBER 2023.

Selang dua minit, Harimau Malaya terus tersentak skuad kendalian jurulatih kelahiran Slovakia menghukum tuan rumah apabila penyerang Kyrgyzstan, Batyrkanov Ernist menjaringkan gol kedua.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah terus ketinggalan 1-3 apabila Kyrgyzstan menggandakan jaringan ketiga menerusi pemain gantian, Merk Kai pada minit ke-57.

Pan Gon pantas membuat tiga pertukaran dengan memasukkan Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Endrick Dos Santos yang akhirnya membuahkan hasil untuk merapatkan kedudukan 2-3 selepas jaringan sendiri pemain Kyrgyzstan.

SNBJ kembali riuh pada minit ke-77 apabila Harimau Malaya berjaya menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi Cools dengan tandukannya menewaskan penjaga gol Kyrgyzstan gantian, Kadyrbekov Kutman.

Laungan terus bergema apabila Faisal menjaringkan gol keempat Malaysia untuk menewaskan pelawat 4-3 pada minit ke-93 selepas menerima bantuan Arif. – MalaysiaGazette

Reaksi pemain Malaysia, Arif Aiman Hanapi selepas membuat percubaan pada perlawanan antara Malaysia menentang Kyrgyzstan sempena Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadiuam Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2023.