LONDON – Everton dihukum pemotongan 10 mata selepas melanggar peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL), umum liga teratas Inggeris semalam.
Mac lalu, liga itu merujuk Everton kepada suruhanjaya bebas atas dakwaan melanggar peraturan keuntungan dan kemampanannya (PSR).
Hukuman itu merupakan sekatan sukan terbesar dalam sejarah pertandingan meletakkan Everton di tangga ke-19 dalam liga.
Potongan 10 mata bermakna pungutan mata telah dikurangkan kepada empat iaitu sama seperti Burnley di tangga terbawah.
Sebagai rekod, Everton mengumpul 14 mata daripada 12 perlawanan musim ini yang menyaksikan kelab itu menduduki tempat ke-14 dalam liga selepas perlawanan hujung minggu lalu.
EPL berkata dalam satu kenyataan berkata, Everton mengakui ia melanggar PSR untuk tempoh berakhir musim 2021/22 tetapi tahap pelanggaran itu masih dipertikaikan.
“Berikutan perbicaraan lima hari bulan lepas, suruhanjaya itu memutuskan bahawa pengiraan PSR Everton FC untuk tempoh yang berkaitan mengakibatkan kerugian £124.5 juta seperti yang dipertikaikan oleh Liga Perdana, yang melebihi ambang £105 juta yang dibenarkan di bawah PSR.
“Suruhanjaya membuat kesimpulan bahawa sekatan sukan dalam bentuk potongan 10 mata perlu dikenakan. Sekatan itu berkuat kuasa serta-merta,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Everton mengatakan terkejut dan kecewa dengan keputusan itu, mengumumkan hasrat untuk merayu.
“Kedua-dua sekatan dikenakan oleh suruhanjaya itu tidak adil dan tidak mencerminkan bukti yang dikemukakan.
“Kelab percaya bahawa suruhanjaya telah mengenakan sekatan sukan yang tidak seimbang dan tidak adil sepenuhnya,” kata Everton, sambil mengakui terbuka dan telus dalam maklumat yang diberikannya kepada liga. – Agensi