MELAKA – Seorang bapa tunggal tidak menyangka asap hitam yang diingatkan jiran membakar sampah rupanya api memusnahkan hampir keseluruhan rumahnya menyebabkan tiga beranak tinggal sehelai sepinggang.
Mangsa, Abdul Wafi Rostam, 29, berkata, ketika kejadian di Jalan Bukit Senjuang, di sini, kira-kira pukul 5.15 petang semalam, dia keluar mengambil dua anaknya berusia enam dan lapan tahun dari rumah pengasuh berhampiran.
“Sewaktu hendak pulang, saya ternampak asap hitam dari kawasan rumah dan menyangka jiran sedang bakar sampah.
“Namun saya terkejut sebaik saja melihat rumah pusaka keluarga berkeluasan 2,400 kaki persegi itu sudah 80 peratus marak dijilat api sebelum segera menelefon bomba,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya yang bekerja sebagai pembantu di kedai perkakas, turut hangus adalah tabung berisi wang tunai kira-kira RM800 untuk kegunaan perbelanjaan keluarganya.
“Habis semua terbakar menyebabkan kami tiga beranak tinggal sehelai sepinggang, termasuklah beberapa dokumen penting.
“Sebak bila anak-anak yang masih kecil dan tidak mengerti beritahu mereka tetap mahu ke sekolah Isnin ini walaupun baju sekolah semua terbakar,” katanya sebak.
Abdul Wafi berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman ada mengunjunginya semalam dan memberikan bantuan awal termasuk pakaian harian.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu, Penguasa Bomba Kanan II K. Karuppanan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.19 petang dan sepasukan 20 anggota dikejarkan ke lokasi.
Kebakaran yang tidak mengakibatkan kemalangan jiwa itu berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette