Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Pahang di The Zenith Hotel, Kuantan malam tadi

KUANTAN – Kolej komuniti boleh berfungsi sebagai instrumen dalam mengupayakan masyarakat untuk mengatasi masalah dan cabaran dalam kehidupan.

Berbeza daripada universiti dan politeknik, kolej komuniti merupakan institusi yang mempunyai peranan tersendiri, unik dan strategik.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan institusi yang bertanggungjawab membangunkan nilai dalam komuniti, sekali gus mempunyai kekuatan dan dan pengaruh sendiri dalam menentukan kedudukan masyarakat.

“Menerusi kolej komuniti ini boleh diaturkan pelbagai pendekatan dan program yang sesuai dengan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Pahang yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, malam tadi.

Menurut Mohamed Khaled, selaras dengan pendekatan kolej komuniti yang menumpukan kepada pengajian sepanjang hayat (PSH), beliau turut mengharapkan kerjasama diberikan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

“Bukan sahaja program-program yang dirangka oleh KPT, tapi juga mana-mana kementerian dan kerajaan negeri yang ingin melaksanakan apa-apa usaha membangunkan masyarakat setempat, maka kolej komuniti sedia menjadi badan dan institusi bagi menjayakan matlamat dan perancangan mana-mana pihak,” katanya.

Justeru, bagi menggalakkan lebih banyak program memperkasa masyarakat setempat, katanya, KPT akan memberikan peruntukan sejumlah RM50,000 kepada semua 105 Kolej Komuniti di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Mohamed Khaled memberitahu, KPT telah meluluskan pembinaan kolej komuniti yang ke-11 di negeri ini yang bertempat di Jelai dalam daerah Lipis.

Sementara itu, mengulas berkenaan pelantikan sembilan orang Pengerusi JPENKK dalam majlis tersebut, beliau berharap mereka yang dilantik mempunyai kesungguhan dan keinginan untuk membangun dan menjayakan komuniti masing-masing.

Antara mereka yang menerima surat pelantikan bagi tempoh dua tahun itu membabitkan kolej komuniti di Kuantan, Bentong, Temerloh, Rompin, Pekan dan Raub. – MalaysiaGazette