Tun Ahmad Fuzi (tengah) merasmikan Pangkalan Udara Wilayah Utara dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Bahagian Udara JBPM di Pangkalan Udara Wilayah Utara Bertam di sini, hari ini.

KEPALA BATAS – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukan RM57.695 juta kepada Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memperkasakan pembangunan fasiliti serta prasarana.

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesemua peruntukan itu diluluskan menerusi Perbelanjaan Pembangunan (DE) di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2024.

“RM46.495 juta diperuntukan bagi projek fizikal penyelenggaraan helikopter dan aircraft refueller dan sambungan projek pembinaan Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Subang melibatkan bangunan pentadbiran sektor logistik, bengkel kejuruteraan, heliport, stesen bahan api pesawat serta kemudahan-kemudahan lain berjumlah RM10 juta.

Akmal Nasrullah.

“Selain itu, kita juga memperuntukan RM1.2 juta bagi projek sambungan perolehan peralatan khas menyelamat helikopter melibatkan 10 unit payung terjun dan satu set Underslung Tactical Rescue Platform,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pangkalan Udara Wilayah Utara dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Bahagian Udara JBPM di Pangkalan Udara Wilayah Utara Bertam di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Hadir sama Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin.

Mengulas lanjut Akmal Nasrullah berkata, KPKT juga kini dalam usaha membuat permohonan bagi perolehan empat unit helikopter baharu untuk kegunaan JBPM.

“Dua unit bagi pelaksanaan penerbangan Emergency Medical Air Ambulance and Rescue Services (EMARS) manakala dua unit lagi untuk penggantian bagi kegunaan bomba.

Orang ramai melihat pertunjukkan Bahagian Udara JBPM memadamkan kebakaran pada majlis perasmian tersebut.

“Walau bagaimanapun, KPKT dan JBPM masih dalam proses melaksanakan kajian analisis kos dan manfaat bagi cadangan tersebut selaras dengan ulasan yang diberikan Kementerian Ekonomi,” katanya.

Sementara itu Abdul Wahab berkata, Pangkalan Udara Bertam yang kini dikenali sebagai Pangkalan Udara Wilayah Utara siap dibina dan beroperasi sepenuhnya pada 2009 dengan kos keseluruhan berjumlah RM30.5 juta.

“Pangkalan udara seluas 16.18 hektar itu dilengkapi bangunan hangar yang terdiri daripada ruang pentadbiran dan operasi penerbangan, ruang kemudahan operasi unit udara, hangar pesawat, ruang pengurusan kujuruteraan pesawat, ruang pengurusan Pasukan Multiskills (MUST) dan kemudahan lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast