Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menyegerakan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Gesaan itu dibuat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) susulan kebimbangan terhadap gerakan pihak-pihak tertentu yang secara halus cuba untuk menjejaskan kedudukan agama lslam sebagai agama negeri dan agama Persekutuan melalui proses litigasi mahkamah.

Serentak itu, Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta 355 berkaitan bidang kuasa jenayah syariah negeri.

“Ini adalah seperti mana titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI Kali ke-70 baru-baru ini.

“MAIS sentiasa komited untuk memperkasa perundangan Islam di Negeri Selangor. Justeru, MAIS menyatakan komitmen dan mengharapkan Kerajaan Persekutuan agar melibatkan Majlis Agama Islam Negeri termasuk MAIS untuk bersama-sama dengan jawatankuasa khas yang dibentuk.

“Ini adalah untuk memastikan tindakan yang menyeluruh dapat dibuat untuk menyelesaikan isu berhubung dengan kompetensi badan perundangan negeri dalam menggubal undang-undang Islam demi untuk menjaga kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama Negeri,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, dalam kenyataan sama Abdul Aziz menegaskan, gerakan secara halus itu termasuk mempertikai bidang kuasa negeri dalam menggubal peruntukan undang-undang lslam yang kebanyakannya adalah kelestarian daripada undang-undang yang telah diamal dan dikuatkuasakan di negeri-negeri di Malaysia sebelum pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia merujuk kepada kes Nik Elin yang memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 di mana MAIS menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan kuasa Mahkamah Persekutuan dalam memutuskan perkara berkaitan pentadbiran keadilan.

“Namun, MAIS berpendirian bahawa tindakan segera perlu diambil untuk mengelak pertikaian seperti kes lki Putra dan kes Nik Elin ini berlaku lagi pada masa akan datang kerana pertikaian seperti ini hanya akan menjejaskan kuasa Negeri berhubung dengan agama lslam,” tegasnya. – MalaysiaGazette