Leong Yu Man (tengah) ketika melawat Festival Kopi Pahang di Kuantan baru-baru ini.

KUANTAN – Seramai 30 vendor menjayakan penganjuran Festival Kopi Pahang 2023 yang julung kali diadakan dan mendapat sambutan lebih 10,000 orang penggemar kopi.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang,  Leong Yu Man berkata, Festival Kopi Pahang 2023 merupakan kelainan untuk mempromosi negeri itu daripada perspektif lain pelancongan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Pahang sangat komited dalam memajukan industri pelancongan.

”Pelbagai bentuk usaha dilaksanakan untuk mempromosikan lagi industri pelancongan di negeri Pahang seperti festival kopi ini yang dianjurkan oleh Tourism Pahang dengan kerjasama dari pihak Old Garage iaitu satu komuniti anak muda yang kreatif.

”Penganjuran festival ini berjaya mewujudkan satu suasana yang menarik diadakan di sebuah gudang lama yang sedang dibangunkan.

”Pada asalnya bangunan Old Garage ini dulunya digunakan untuk menyimpan beras dan bekalan beras-beras ini dijual untuk pasaran sekitar daerah Kuantan.

“Kini ia dibangunkan semula dengan konsep vintaj yang sangat unik dan menarik dan difahamkan ia menjadi lokasi untuk anak-anak muda dan masyarakat Kuantan berkumpul,” ujarnya.

Selain itu lokasi itu kerap kali diadakan perhimpunan kelab-kelab motor lama, kenderaan lama di samping mempunyai ruang yang sedikit besar yang turut menjadi pilihan anak muda bermain skate board dan aktiviti-aktiviti jualan.

Orang ramai berkunjung ke Festival Kopi Pahang

”Terima kasih kepada vendor-vendor yang datang dari jauh untuk berhimpun bersama-sama kita kali ini. Ada dari luar Pahang seperti Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan serta Terengganu. Terima kasih juga kepada vendor dari pelbagai daerah  serta seperti Temerloh, Pekan dan Jerantut,” katanya pada kenyataan hari ini.

Festival tersebut diadakan selama tiga hari sejak Jumaat hingga Ahad bermula 17 hingga 19 November 2023 itu akan dijadikan acara tahunan dan akan disenaraikan dalam kalendar acara pelancongan.

Bagi perancangan tahun berikutnya, penganjuran festival itu akan diadakan lebih berskala besar yang melibatkan mungkin dari pihak luar negara dan sebagainya.

Selain jualan kopi, aktiviti lain seperti Battle of Barista juga menawarkan hadiah yang menarik, perkongsian kelas berkaitan kopi, persembahan pentas lagu-lagu kebudayaan, mencanting batik dan sebagainya.

Yu Man berkata, Festival Kopi Negeri Pahang berpotensi untuk dipromosikan kerana ia dapat mewujudkan satu kelainan untuk mempromosikan Pahang dari perspektif lain pelancongan iaitu Gastronomy Tourism. – MalaysiaGazette