TEL AVIV – Serangan bertalu-talu Israel terhadap Gaza bukan satu tindakan untuk menyerahkan wilayan itu kepada pihak berkuasa Palestin yang dikuasai parti Fatah pimpinan Mahmoud Abbas.
Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu sekali menegaskan pihaknya tidak akan kekal di Gaza selepas serangan tamat sambil menolak tekanan yang dibuat oleh sekutu kuatnya Amerika Syarikat (AS).
Netanyahu mengingatkan selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berundur dari Gaza pada 2005, ia menyerahkan Gaza kepada Fatah yang kemudiannya digulingkan oleh Hamas pada 2007.
“Pihak berkuasa Palestin dalam bentuknya sekarang tidak dapat bertanggungjawab ke atas Gaza. Selepas kita berjuang dan melakukan semua ini, bagaimana kita boleh menyerahkannya kepada mereka?”
“Mereka sudah berada di sana, mereka diberikan Semenanjung Gaza dan apa yang berlaku? Mereka dimusnahkan dan dihalau keluar dari sana dalam masa kurang setahun,” kata Netanyahu.
Beliau juga berkata, Mahmoud yang juga Presiden Palestin tidak pernah mengutuk serangan yang dilakukan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Selain itu, beliau juga mendakwa pihak berkuasa Palestin mempunyai dasar ‘membayar gaji bulanan kepada pengganas dan keluarga mereka’.
Sementara itu, Netanyahu yakin dapat membuat persetujuan dengan AS untuk Israel terus kekal di Gaza.
“Saya percaya kita akan mencapai persetujuan dengan AS mengenai perkara ini, bahawa adalah mustahil untuk meletakkan di Gaza pihak berkuasa yang menyokong keganasan, bersubahat dengan keganasan, dan membayar pengganas.
“Ada satu lagi syarat yang saya tetapkan sehari selepas itu IDF akan mempunyai kebebasan penuh bertindak di Semenanjung Gaza terhadap sebarang ancaman. Hanya dengan cara ini kami akan menjamin demilitarisasi Gaza,” katanya.
Sementara itu, Netanyahu telah menjelaskan kepada AS bahawa Israel tidak akan bersetuju dengan gencatan senjata sehingga ia menggulingkan Hamas dan ia hanya akan bersetuju untuk gencatan sementara sebagai pertukaran untuk pemulangan semua tebusan.- Agensi