Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan telah memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris untuk dirakam percakapan selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap pentadbiran PKR.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis telah merakam keterangan daripada Razali di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah di Balai Polis Chukai, Kemaman Terengganu pada hari ini.

“Razali disiasat dan diambil keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kenyataannya bersifat penghinaan terhadap pentadbiran keadilan dengan menyifatkan keputusan oleh institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan.

“Kenyataan tersebut dipercayai dibuat  oleh Razali semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya PRK 040 di Kemaman, Terengganu bertarikh 10 November yang lalu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Tambah Mohd Shuhaily, petikan ucapan wakil rakyat DUN Kijal tersebut kemudiannya telah ditularkan oleh pengendali akaun Tiktok @wancin11 sekitar 14 November 2023.

Menurut beliau, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian.

“Memandangkan kes ini masih di peringkat siasatan, PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasatan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette