PPS dibuka di Dewan Pusat Sukan UMT.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana bagi memberi maklumat terkini dan bantuan kepada para pelajar
dan kakitangan yang berada di dalam kampus dan sekitarnya.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, Bilik Gerakan Bencana dan talian hotline 24 jam ini dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pejabat Keselamatan.

Menurut beliau, beberapa kawasan berdekatan kampus iaitu Kampung (Kg) Tok Jembal, Kg. Gong Pak Jin, Kg. Pak Tuyu, Kg. Jati dan beberapa kawasan lain yang rata-rata merupakan kawasan kediaman pelajar UMT luar kampus (rumah sewa) turut dinaiki air.

“Selain itu, beberapa kawasan di dalam kampus UMT turut dinaiki air dan menyebabkan Bahagian Keselamatan UMT meminda laluan sedia ada untuk
memudahkan pergerakan warga kampus keluar dan masuk,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mazlan, UMT amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan warga kampus ketika situasi yang penuh mencabar ini.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pusat Sukan UMT turut dibuka bagi membolehkan para pelajar berpindah.

Setakat jam 9.00 pagi ini seramai 20 orang pelajar telah berpindah ke PPS sementara tersebut dan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya telah disediakan kepada mereka.

UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud turut menyediakan bantuan zakat berjumlah RM100,000.00 kepada pelajar UMT dan komuniti setempat yang terkesan
akibat banjir di negeri Terengganu. Bantuan ini merupakan sumbangan dari Etiqa Family Takaful Berhad bagi meringankan beban mereka yang terjejas serta kerugian
harta benda.

Manakala sumbangan derma siswa bernilai RM10,000 bagi pelajar bukan Muslim turut disediakan oleh pejabat HEPA kepada mereka yang terlibat.

Tambah Mazlan, melihat kepada pola hujan yang masih lagi melanda negeri Terengganu, warga UMT adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan
bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.

“Pastikan senantiasa menjaga keselamatan diri serta patuh kepada nasihat pihak berkuasa demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Tambah Mazlan, pihak UMT juga menasihati para pelajar dan staf yang memerlukan bantuan dan pertanyaan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Bilik
Gerakan Bencana di talian 09-6685059/4118. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast