BENTONG – Himpunan Ulama dan Agamawan (HUDA) anjuran Majlis Ulama UMNO (MMU) akan diperluas dan dilaksanakan setiap tahun bagi meneruskan wadah dakwah parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu cetusan Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat strategik sebagai platform bagi menangkis tohmahan pihak pembangkang serta menjadi medan pemantapan isu agama dalam kalangan ahli.
”HUDA perjuangkan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah Asyairah wal Maturidiyah, berpegang dengan fekah mazhab Syafie dan bertasawuf.
”Pelaksanaanya dapat membantu untuk fokus dan ruang diskusi sesuatu isu dan dapat menepis persepsi, fitnah dan sentimen, atau tomahan tidak berasas.
”HUDA dilihat berupaya menjadi pemangkin menghidupkan roh agama di kalangan ahli parti bagi melaksanakan dan mendaulatkan Islam sebagai Ad-din (Agama) dan cara hidup,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ia selaras dengan Fasal 3 Perlembagaan UMNO menetapkan asas dan tujuan penubuhannya sebagai parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Islam dengan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Bengkel yang julung pertama kali diadakan itu menghimpunkan 300 peserta ahli UMNO Malaysia dari seluruh bahagian berkampung selama tiga hari diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) dekat Janda Baik, Bentong bermula Jumaat lalu.
Antara topik perbincangan pembentangan kertas kerja dalam bekengkel itu ialah Agenda Islam Dalam Perjuangan UMNO, Peranan Tugas Mursyid, Memperkasa Peranan Biro Agama di UMNO Bahagian.
Wan Rosdy menegaskan UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan ketinggian Islam dan syiarnya dalam perjuangan parti itu.
”Kita berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni, agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
”Saya berharap perjuangan parti diteruskan di samping melahirkan golongan celik agama dan mengamalkan konsep wasatiah dalam kehidupan bagi mengimbangi kehidupan dunia bekalan akhirat,” katanya – MalaysiaGazette