Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi terhadap kes penularan video perbualan telefon yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan dalam kes membabitkan kedua-dua individu ini sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman,” katanya, hari ini.

Mohammad Agus hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk diambil keterangan.

Tambah beliau, tindakan akan diambil terhadap pengguna media sosial yang menggunakan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, polis telah merakam keterangan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard hari ini bagi membantu siasatan kes penularan video itu. – MalaysiaGazette