KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menganjurkan KUD @ Putrajaya Tahun 2023 di Anjung Floria, Putrajaya pada 22 hingga 26 November ini.

Menurut satu kenyataan, penganjuran tersebut membabitkan 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad.

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

“Selain itu, pelaksanaan program ini juga didokong menerusi penglibatan pengisian program dari Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD), Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran (K), Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK) dan GiatMARA.

“Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Perbadanan Putrajaya khususnya dalam kelulusan penggunaan lokasi Anjung Floria dan khidmat nasihat pelaksanaan program berskala besar di Putrajaya,” katanya.

Program ini dijadualkan bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

Katanya, program KUD @ Putrajaya pada kali ini menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan selain dijangka akan menarik penyertaan sehingga sejuta pengunjung.

Program ini dijadualkan untuk dirasmikan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Anwar Bin Ibrahim pada jam 11 pagi 25 November ini.

Tambahnya, kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan.

Katanya, program ini juga menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian dari Kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar. – MalaysiaGazette