MELAKA – Dua rakan masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki air ketum, September lalu.
Majistret Khairunnisak Hasni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Ruzaini Mohamad Don, 31, dan Anuar Ismail, 44, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama didapati telah ada dalam kawalan bahan dadah mitragynine seberat 500 mililiter (berat bersih).
Kesalahan tersebut dilakukan di pondok hadapan sebuah rumah di Bukit Duyong dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.30 malam 5 September 2023.
Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Peguam A.H Mohamad Zulkiffly Abdul Hamid yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda ringan dengan alasan mereka menanggung keluarga.
Muhammad Ruzaini pula berhujah, tertuduh akan bertolak ke tanah suci untuk menunaikan ibadah umrah, esok.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar bagi setiap tertuduh. – MalaysiaGazette