KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mendakwa Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak kelihatan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Isam berkata, tiada seorang pun wakil pembangkang ketika sesi soal jawab diadakan pagi ini.
“Bukan ramai tidak hadir, seorang Ahli Parlimen pembangkang pun tidak ada, inilah peel pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Lantaran itu, Yang di-Petua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul terpaksa menghentikan soalan lisan keempat R. Ramanan (PH-Sungai Buloh) kerana mendapati ramai ahli-ahli Parlimen yang mengemukakan soalan tidak hadir di Dewan Rakyat.
Ramanan sebelum ini ingin mendapatkan penjelasan Menteri Pendidikan apakah proses terperinci kerajaan dalam mempercepatkan pembukaan sekolah yang telah siap dibina tetapi belum beroperasi.
“Sebelum menteri jawab, oleh kerana ramai ahli Parlimen tidah hadir, saya akan buka peluang kepada setiap jawapan yang dijawab ini untuk tiada soalan tambahan,” katanya.
Ketika Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menjawab, kelihatan semua kerusi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional dilihat kosong.
Difahamkan semua ahli Parlimen gabungan itu kini berada di ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ yang sedang berlangsung di Putrajaya, pagi ini. – MalaysiaGazette