Plaza Tol WCE Assam Jawa Lebuhraya WCE seksyen 6 persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang akan dijangka dapat mejimatkan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa (Ijok) yang akan mengambil masa hanya 15 minit berbanding 45 minit dengan melalui laluan sedia ada ketika di Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2023.

KUALA SELANGOR – Pengguna Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan menikmati perjalanan tol secara percuma selama 43 hari bermula 12.01 pagi pada 21 November ini hingga 2 Januari 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu akan melibatkan Lebuhraya WCE melibatkan Seksyen 6 dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa.

“Pengecualian tol akan diberikan selama 43 hari sehingga 2 Januari 2023, jam 11.59 malam.

“Tol percuma ini diberikan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE Seksyen 6 dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa atau sebaliknya (di kedua-dua arah),” katanya ketika merasmikan jajaran baharu Lebuhraya WCE di Jeram, di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya WCE seksyen 6 persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ketika di Plaza Tol WCE Assam Jawa, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2023.

Tambahnya, jajaran baharu itu akan mula dibuka kepada pengguna sepenuhnya bermula 12.01 malam, pada Selasa ini.

“Jajaran baharu sepanjang 21.8 kilometer itu menghubungkan secara terus pengguna lebuh raya dari Kapar ke Assam Jawa, Selangor,” katanya.

Selain itu, jajaran baharu itu dijangka menjimatkan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa yang mengambil masa 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini.

“Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan lebih baik kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Katanya lagi, pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini akan memberi impak positif dalam merancakkan industri pelancongan tempatan.

“Destinasi pelancongan menarik seperti Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror, dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan misalnya, kini, boleh diakses dengan lebih mudah oleh pengunjung.

“Ini akan dapat meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan itu serta mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan tempatan,” katanya.

Selain itu, katanya Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga bakal mendapat manfaat daripada pembukaan lebuh raya ini, sekaligus merancakkan pertumbuhan sosio ekonomi kepada komuniti setempat.

“Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini juga mempunyai sambungan secara terus dengan Lebuhraya LATAR yang menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka sebelum ini pada 2019, melibatkan tiga seksyen di Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir – Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin – Beruas).

Manakala satu seksyen di Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan –
Bandar Bukit Raja Utara). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast