Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis menerima sebanyak 19 laporan ancaman bom di beberapa buah sekolah di seluruh negara hari ini daripada emel individu tidak dikenali.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua angka itu membabitkan beberapa sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan, Sekolah antarabangsa dan sekolah swasta yang beroperasi dalam negara.

“Siasatan awal polis mendapati ancaman bom itu telah dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama ‘taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan emel beeble.com.

“Pecahan laporan polis yang diterima adalah tujuh laporan di selangor; lima laporan ancaman di Kuala Lumpur; tiga di Johor; dua di Pulau Pinang; dan masing-masing satu laporan ancaman di Perak dan di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman hari ini.

Tambah Razarudin lagi, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai peneriman emel ancaman, PDRM dengan kerjasama sekolah-sekolah tersebut dengan mengosongkan premis-premis  terlibat.

Bagi menjamin keselamatan, pengungsian pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan segera oleh pihak sekolah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke lokasi-lokasi berkumpul sepertimana ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan beredar pulang.

“Tindakan pembersihan keselamatan bom telah dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM, antaranya unit pemusnah bom di semua lokasi yang terlibat namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan.

“Dalam kes ini, siasatan lanjut mendapati emel yang mengeluarkan ancaman bom itu sebenarnya adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti yang didakwanya.

“Malah, siasatan kami turut menunjukkan kedua-dua alamat emel yang digunakan bagi menghantar ancaman, baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet,’ ujar beliau.

Tegas Razarudin, kandungan asal e-mel ancaman adalah dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia menggunakan aplikasi penterjemah.

Justeru katanya, kandungan emel yang sama dikesan turut pernah dihantar ke-70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November 2023, juga melalui penyedia perkhidmatan emel yang sama.

“Dalam perkara ini, siasatan PDRM turut menjurus sama ada insiden di Malaysia, mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah yang mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya,” tambahnya.

Razarudin berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 507 kanun keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.- MalaysiaGazette