Foto: FAM

KUALA LUMPUR – Penyerang Darren Lok memastikan Malaysia meneruskan momentum kemenangan selepas menundukkan Taiwan 1-0 pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei, malam ini.

Pemain Sabah FC yang dimasukkan pada babak kedua menggantikan Paulo Josue, muncul wira skuad Harimau Malaya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72 untuk membantu pasukan meraih tiga mata berharga di tempat lawan.

Pada aksi kedua kumpulan itu, Ketua Jurulatih Kim Pan Gon membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan yang menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lepas dengan menurunkan Junior Eldstal, Mohd Afiq Fazail, Paulo Josue dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Beraksi di atas permukaan padang yang tidak begitu memuaskan, skuad Harimau Malaya dan Taiwan kendalian Gary White masing-masing bergelut menampilkan aksi memberangsangkan apabila lebih bergelut mencari rentak permainan sepanjang babak pertama.

Namun, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim mensia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan Malaysia di depan selepas gagal menyempurnakan umpanan Arif Aiman Mohd Hanapi yang menyaksikan sungkitannya terkena tiang pada minit ke-43. – Bernama